header

UCAPAN ALUAN PRESIDEN KEPTAN


KAPTEN BERSEKUTU (PA) PUAN JAMEELAH BINTI HUSSIEN


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

   Bersyukur kita kehadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya kita dapat mewujudkan laman web rasmi bagi Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia ringkasnya KEPTAN. Syukur juga di panjatkan kepada kehadrat Allah SWT kerana telah merealisasikan impian Pembantu Tadbir untuk mewujudkan Kesatuan yang boleh dijadikan platform untuk memperjuangkan segala kebaikan, kebajikan dan masaalah demi memastikan anggotanya mendapat manfaat di atas Kesatuan ini.
   Pembantu Tadbir Pendidikan adalah terdiri daripada Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) dan Pembantu Tadbir (Kewangan) yang mana perkhidmatan ini berada di Bahagian-Bahagian dan semua institusi pendidikan di bawah KPM. Kita semua berperanan dalam menjadikan urusan pentadbiran teratur dan mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Skop tugas pembantu tadbir pendidikan adalah berhubung dengan urusan perkhidmatan (pengurusan personel), pengurusan pentadbiran, pengurusan pembangunan dan penswastaan, pengurusan aset, rekod perubatan, pengurusan hasil, hal perkhidmatan dan kewangan termasuk emolumen, elaun, pertukaran, pencen, tuntutan perjalanan, bangunan dan sebagainya. Tugas-tugas ini kita dapat dilaksanakan dengan lancar agar tidak mengganggu tugas para pegawai dan guru-guru yang perlu fokus kepada isu pengajaran, pembelajaran dan tugas pentadbiran yang lebih penting.
   Saya, selaku Presiden Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia atau lebih dikenali KEPTAN ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi maklumat tentang sejarah dan matlamat kesatuan ini. Mungkin masih ramai yang belum mengenali dengan lebih akrab lagi tentang peranan KEPTAN. Mudah-mudahan dengan penerangan yang ringkas ini, mampu mengundang lebih ramai lagi ahli untuk menyertai KEPTAN dan sama-sama mendapat manfaat. Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia memulakan operasinya seawal tahun 60-an. Namun begitu, setelah melalui sejarahnya yang berliku, syukur alhamdulillah akhirnya, kesatuan ini berjaya ditubuhkan pada tahun 1995. Jadi, tidak salah rasanya kalau saya katakan bahawa hakikatnya perjuangan kesatuan ini sudah mencapai usia hampir 50 tahun. Pada dasarnya, KEPTAN ditubuhkan dengan objektif untuk memberikan pengiktirafan kepada pembantu tadbir yang mempamerkan mutu kerja yang cemerlang, di samping menggerakkan satu budaya kerja yang berkualiti.
   Seterusnya, tujuan penubuhan kesatuan ini adalah untuk menggalakkan pembantu tadbir mempamerkan satu bentuk kesepakatan secara berpasukan dan menggalakkan mereka bekerja bersungguh-sungguh. Malah, KEPTAN turut memberi penghargaan serta dorongan motivasi khususnya kepada pembantu tadbir yang telah menunjukkan mutu kerja cemerlang serta berkeperibadian tinggi dan baik terutama sekali dalam memberikan komitmen, dedikasi dan inovasi dalam menjalankan tugas. Untuk makluman, Hari Pembantu Tadbir Pendidikan merupakan salah satu perjuangan yang besar bagi kesatuan ini. Perjuangan yang bermula pada tahun 2012 ini telah membuahkan kejayaan apabila pada akhirnya Menteri Pendidikan kita telah sudi memberi pengiktirafan dengan menjadikan 1 Oktober sebagai hari yang istimewa untuk kita semua. Syukur, alhamdulillah. Ini jelas merupakan suatu pengiktirafan yang cukup besar dan bermakna khususnya bagi pembantu tadbir pendidikan.
   Pembantu tadbir adalah merupakan sayap kepada pentadbiran. Jika tiada pembantu tadbir, maka sesebuah organisasi akan pincang kerana pengurusan menjadi terjejas. Oleh itu, besar harapan saya, pihak Kementerian dapat menjalankan kajian kebolehlaksanaan penggabungan skim pembantu tadbir (perkeranian operasi)dan pembantu tadbir (kewangan) di bawah lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dengan nama baharu iaitu pegawai khidmat tadbir pendidikan dengan gred NA agar dapat dicadangkan kepada Agensi Pusat. Diharapkan, dengan penjenamaan semula perjawatan ini, maka semua pembantu tadbir pendidikan mendapat peluang yang sama untuk memajukan diri khususnya untuk mendapatkan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan. Semoga ukhuwah kita akan terus berpanjangan dan berkekalan. Salam sayangi Malaysiaku!
Sekian.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Salam Sejahtera.

 

Reka bentuk asal 2007 oleh NCT Technology.
Paparan terbaik menggunakan Google Chrome dengan resolusi skrin 1366x768.
Penambahbaikan 2015 oleh Pegawai Pentadbir Sistem KEPTAN.